Dunia zaman moden berpaksikan westernisasi ‘kuning’ peninggalan penjajah barat. Sistem dan cara hidup mereka telah memuntahkan gejala sosial yang amat bejat sehingga memusnahkan tamadun keimanan dan kemanusiaan.
Situasi gawat ini seolah tidak terbendung lagi. Berbagai kaedah sudah di cuba, namun masih tidak menemui penawar yang dapat meredakan keadaan. Keadaan bertambah parah dengan kebanjiran artis-artis ternama dunia seperti Adam Lambert, Shaun Kingston,Kelly Clarkson, Usher, dan lain-lain yang mengundang kehadiran seramai 10,000 hingga 15,000 penonton dalam satu-satu persembahan.
Seolah ada satu pergerakan yang tersusun disebalik kehadiran artis-artis ini. Hampir setiap sebulan atau dua bulan pasti Malaysia didatangi oleh artis dari luar samada dari barat ataupun dari benua Asia seperti Wonder Girls dari Korea !
Lantaran itu, kita merasakan sudah tiba masanya para Ahbab Rasulullah s.a.w. tampil di dalam masyarakat di seluruh dunia, untuk menyelamatkan keadaan. Kembali menyemarakkan amalan syiar selawat, pembacaan maulid serta tazkiyyah pimpinan Ahli Bait Rasulillah s.a.w. untuk menyelamatkan dunia yang telah tenat. Kita perlu menzahirkan Ahli Bait dengan pendekatan rohani mereka yang dapat memimpin hati, di tengah masyarakat.
Nama Road Tour Ummah Berselawat sengaja dipilih bagi mengangkat martabat majlis tradisi warisan ini, agar kelihatan segar dan lebih menarik bersesuaian dengan realiti semasa di zaman moden.
Juga setaraf bahkan mengatasi penganjuran road tour konsert para artis tempatan mahupun antarabangsa. Walau bagaimanapun, nama ini tertakluk kepada perubahan dan persetujuan bersama. Apa yang penting konsep asas dan penyesuaian dengan situasi semasa dapat kelihatan seiring dan bertautan.
Gambar 1: Sultan Muhammad V Disamping Tok Guru Nik Abdul Aziz Qiam Semasa Marhaban di Masjid Muhammadi
Gambar 3 :Tok Guru Nik Abdul Aziz Melayan Habibuna Umar bin Hafiz
Ahbab Rasulullah s.a.w,
Kepimpinan Ahli Bait mestilah diberi peluang, malah dijemput untuk merubah keadaan. Keberkatan rantaian nur silsilah muttaqin Rasulullah s.a.w. sudah tentu membawa bersama mereka Rahmat. Lantaran Rahmat anugerah Allah s.w.t. itulah yang telah di bawa oleh moyang mereka baginda Rasulullah s.a.w. Lalu baginda merawat wajah dunia yang suram dengan jahiliah, kepada sinar keindahan serta keadilan Islam!
Kemilau cahaya kepimpinan Ahli Bait Rasulillah s.a.w. pasti akan memberi impak positif kepada masyarakat. Kita cuba memastikan pemimpin politik dikalangan umat Islam dari berbagai aliran, akan turut serta berselawat. Turut sama mendengar tausiyah dan tazkiyah yang di sampaikan oleh para Ahli Bait yang dimuliakan Allah.
Yakinlah ! Inilah TEORI PERPADUAN yang kita cari selama ini. Persis Rasulullah saw menyatukan pemimpin Arab yang bertelagah dalam peristiwa perletakan Hajar Aswad. Persis juga Rasulullah s.a.w. menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar di Kota Madinatunnabi sehingga penyatuan ini membentuk sebuah anjakan paradigma dalam penyebaran agama Islam ke serata pelosok dunia !
No comments:
Post a Comment