Followers

Friday 29 July 2011

ALMARHUM SYEIKH NIAMAT YUSOFF PENCETAK DAIE





MENATAP PERIBADI PENGASAS MAAHAD
ALMARHUM SYEIKH NIAMAT YUSOFF

DERANG YANG PERMAI
Sebuah kampung yang bernama Derang tidak mugkin terkenal tanpa dikaitkan dengan seorang tokoh agama bernama Al-Fadhil Syeikh Niamat Bin Yusoff. Pertalian bukan kerana tempat kelahiran, tetapi disebabkan teras sebuah pusat pendidikan Islam yang pertama mewujudkan pengajian dari peringkat rendah ke peringkat tinggi berasrama penuh dibawah pimpinan beliau. Di sebalik keupayaan menerokai sekolah yang bernama Maahad Tarbiyah Islamiah ini, terungkap sejarah pengalaman dan keilmuan yang mendasari keperibadian dirinya. Beliau dilahirkan pada tanggal 22 Februari 1940 di Kepala Batas, Pulau Pinang, Sebuah daerah yang ketika itu terkenal dengan sekolah-sekolah yang masyhur di Nusantara.
Inilah kelahiran anak kedua dari empat orang anak hasil perkongsian hidup Tuan Guru Syeikh Yusof Bin Said dengan Che’ Tah Binti Abdul Hamid seorang tokoh yang disegani kerana pengalaman dan keterlibatan dalam masyarakat dalam membantu menerajui pusat pendidikan pondok di beberapa daerah dalam negeri Kedah ketika itu. Manakala anak menantu semuanya mewarisi usaha beliau di bidang kerjaya yang sama.
Kehidupan Tuan Guru Syeikh Yusof Bin Said amat sederhana. Ketika inilah Syeikh Niamat menerima pengalaman dari ayahnya yang sering berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Perpindahan yang pertama ialah dari Kepala Batas Seberang Perai ke Padang Sera Kedah, dimana beliau (Tuan Guru Syeikh Yusoff) telah mengasaskan sekolah agama An-Nahdhah Al-Hasanah Melele bersama seorang sahabat dari Indonesia bernama Ustaz Ali Bustamam. Kemudian beliau berpindah ke Kubur Panjang untuk menggantikan Tuan Guru Haji Husin Misri sebagai mudir di Pondok Madrasah At-Tarbiyah Al-Auladiyah. Akhirnya pada tahun 1952 beliau berpindah ke Alor Setar untuk mengembangkan ilmu pengetahuannya kepada masyarakat umum menerusi masjid-masjid, surau-surau dan parsatuan-persatuan. Suasana kehidupan yang sederhana dan perpindahan yang berlaku sewaktu inilah telah banyak membantu Syeikh Niamat dalam memahami aspek-aspek kemasyarakatan dan tanggungjawab diri.
Disamping pengalaman dan pendidikan informal yang diperolehi dari ayahnya, beliau juga mendapatkan pendidikan formal dari beberapa buah sekolah. Pertama, beliau dihantar belajar di sekolah Melayu pada tahun 1947 sehingga 1948 sehingga darjah dua, kemudian menuntut di Madrasah At-Tarbiyah Al-Auladiyah, Kubur Panjang sehingga darjah tiga pada tahun 1952. Beliau kemudian mendapat kesempatan melanjutkan pelajaran di Maktab Mahmud Alor Setar dan lulus Syahadah Nihaiyah(menengah) di Sekolah tersebut pada tahun 1960.
Laluan pengajian diselarikan dengan latihan mengajar yang dipertanggungjawabkan oleh ayah beliau. Walaupun dalam usianya yang terlalu muda, beliau telah menimba pengalaman menjadi guru Al-Quran dan tajwid di rumah-rumah dan di surau-surau sejak tahun 1954 sehingga 1960 ketika usia baru menjangkau umur 14 tahun. Kemudian beliau telah berkesempatan mengajar bahasa arab di beberapa buah sekolah agama rakyat di negeri Kedah pada tahun 1960 sehingga 1964. Sebelum berangkat ke Mesir, beliau juga telah sempat menjadi guru agama dan guru bahasa kebangsaan di sebuah sekolah swasta Darul Aman English School, Alor Setar dan di kelas khas Maktab Mahmud.

PENULISAN
Disamping itu, beliau juga memiliki minat yang mendalam di bidang penulisan, sejak usianya 17 tahun lagi tulisan-tulisan beliau telah termuat di dalam pelbagai majalah dan akhbar yang ringan. Mulai tahun 1958 tulisan-tulisan beliau telah mula tersiar dalam majalah Mastika yang dianggap paling popular ketika itu. Dari tahun 1957 hingga 1960 sahaja, beliau telah menghasilkan 50 buah sajak, 5 buah cerpen dan 2 buah cerpen terjemahan, beberapa artikel tentang sejarah dan 2 buah drama. Di saat-saat inilah beliau terlibat dengan Badan Seni Seri Budaya Kedah sebagai Ahli Jawatankuasa pada tahun 1963/1964. Selepas tahun 1964 beliau lebih berkecenderungan menulis artikel-artikel yang menyentuh persoalan agama, falsafah, sejarah dan pendidikan. Manakala selepas tahun 1974 ketika arus kebangkitan Islam melanda, tulisan yang dihasilkan beliau lebih bercorak dakwah dan tarbiyah sehinggalah ke saaat terakhir kehidupan beliau.

PERKAHWINAN & KELUARGA
Beliau mendirikan rumahtangga pada tahun 1961 dengan Puan Khadijah Binti Othman dan dikurniakan 14 orang anak (8 orang lelaki dan 6 orang perempuan) dan Puan Engku Faizah Engku Mohsin pada November 1990 dan dikurniakan seorang anak lelaki. Sebelas orang daripada anak-anak beliau telah berumahtangga sementara 4 orang masih bersekolah.

MELANJUTKAN PELAJARAN
Pada tahun 1964 beliau telah berangkat melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar di Mesir dengan dokongan dan sokongan masyarakat. Kemiskinan yang melatari kehidupan beliau dan keluarganya adalah satu-satunya sebab yang mendorong beliau terpaksa merayu belas kepada masyarakat. Dengan bekalan yang sangat terbatas beliau telah berangkat ke Mesir dengan menaiki sebuah kapal laut dari Singapura dengan meninggalkan seorang isteri dan seorang putera yang masih kecil bernama Muhammad Naim yang pada masa itu baru berusia 10 bulan.
Dugaan kedua mengiringi beliau apabila sampai ke Singapura, perjalanan beliau tergendala oleh peristiwa peperangan kaum yang sedang berlaku di sana pada waktu itu. Akhirnya, setelah dua hari terkepung di rumah sahabatnya, En. Rahman Bee, perjalanan beliau dapat diteruskan sehingga pada tanggal 16 Oktober 1964 beliau tiba dengan selamat di Kaherah. Beliau mendaftarkan diri dalam pengajian di bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar.
Untuk membiayai keperluan pengajian, beliau juga terpaksa bekerja sambilan sebagai pengedar buku-buku dan kitab-kitab agama ke tanah air. Beliau adalah seangkatan dengan Dato’ Syeikh Yusof Haji Ismail, bekas Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah, dan almarhum Al-Fadhil Ustaz Fadhil Muhammad Noor, mantan Presiden PAS. Semasa di Kaherah, beliau turut terlibat di dalam mengendalikan Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu ( PMRAB ) sebagai anggota badan pengurus. Antara tahun 1967 hingga 1968 hakikat pahit getir dan laluan yang serba tercabar akhirnya membawa natijah yang amat bermakna. Tepat pada tanggal 18 Oktober 1968 beliau telah kembali ke tanah air dengan segulung ijazah di bidang usuluddin dari Universiti Al-Azhar.

KETERLIBATAN DENGAN MASYARAKAT
Setelah kembali ke tanah air nama beliau mula terserlah di mata masyarakat kerana penglibatan beliau dalam kerjaya pendidikan Islam disamping keterlibatan beliau dalam wadah-wadah Islam dan gerakan sosial. Beliau mula terlibat sebagai Penolong Setiausaha Persatuan Mahasiswa Timur Tengah Bahagian Negeri Kedah pada tahun 1970. Dalam masa yang sama, beliau juga terlibat dalam Persatuan Kebajikan Islam (PERKIM) Bahagian Negeri Kedah sebagai Ketua Biro Pendidikan.
Beliau juga adalah diantara peribadi yang bertanggungjawab mengasaskan Angkatan Belia Islam (ABIM) cawangan Negeri Kedah pada tahun 1972. Penubuhan cawangan ini merupakan diantara yang pertama ditubuhkan setelah diasaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan sahabat-sahabatnya di Kuala Lumpur pada tahun 1971.
Beliau menjawat jawatan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Kedah yang pertama setelah diasaskan. Di peringkat ABIM pusat, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Syuro yang merupakan induk kepada pertubuhan tersebut. Namun, atas alasan mahu menumpukan perhatian terhadap proses penubuhan sebuah sekolah agama, maka beliau telah mengundurkan diri sebagai Yang Di-Pertua ABIM Kedah pada tahun 1978. Walaupun begitu, disebabkan kepimpinan beliau masih lagi diperlukan, maka jawatannya dalam Exco ABIM negeri Kedah masih lagi dikekalkan sebagai Naib Yang Di-Pertua sehinggalah menjelang tahun 1989. Inilah wadah yang dipilih olehnya untuk berperanan di dalam masyarakat dalam bidang dakwah dan tarbiyah.
Pada awal tahun 70-an ini juga beliau terlibat secara aktif dalam Persatuan Ulama’ Kedah. Satu persatuan yang menjadi tunggak aspirasi seluruh ulama’ Negeri Kedah sejak ia ditubuhkan pada tahun 1948. beliau menjawat jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa dari tahun 1971 hingga 1987. kemudian dipilih sebagai Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Ulama’ Kedah sejak dari tahun 1987 hingga ke akhir hayat beliau.
Pada akhir 90an beliau mula melibatkan diri secara serius dengan parti politik iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan menjawat jawatan sebagai Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Kedah serta Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan Pokok Sena.
Beliau serta beberapa orang rakan telah mengasaskan Nadwah Persuratan Islam Malaysia (NAFIS) satu wadah dalam mengumpul serta membangunkan penulisan-penulisan bercorak Islam.
Penglibatan beliau di arena pertubuhan Islam memberi peluang untuknya bukan sahaja melawat ke seluruh pelusuk tanah air, malah ke beberapa buah negara luar. Diantara lawatan rasmi beliau ialah ke Amerika Syarikat pada tahun 1983, Arab Saudi pada tahun 1983, Indonesia pada tahun 1985, Kuwait dan Mesir pada tahun 1988, Pakistan dan India pada tahun 1987, ke United Kingdom pada tahun 1989 dan 1990, ke Sudan yang dilawatinya pada bulan September 1990, dan beberapa buah negara Timur Tengah serta di Eropah pada awal hingga akhir 90 an, yang mana melalui lawatan inilah beliau banyak menimba pengalaman untuk melanjutkan usaha ke arah melangsungkan pendidikan yang beliau pelopori itu.

KERJAYA
Di bidang pendidikan beliau telah diterima menjadi guru penolong di Maktab Mahmud, Alor Setar sejak dari tahun 1969. Pada tahun 1972 hingga tahun 1978 pula, beliau telah dipilih menjadi Pensyarah dalam Darjah Latihan Perguruan Guru-guru Agama Kedah. Tahun 1981 merupakan tahun yang merubah suasana kehidupannya dalam kerjayanya. Pada tanggal 5 Jun 1982 dengan rasminya meletakkan jawatan sebagai guru di Maktab Mahmud setelah berkhidmat selama 12 tahun. Perletakan jawatan yang didorong atas kesedaran tentang keperluan menubuhkan sebuah sekolah agama yang mendokong aspek keilmuan Islam tradisional yang mampu berinteraksi dengan suasana semasa sebagai teras pendidikan generasi akan datang.

MAAHAD TARBIAH ISLAMIYAH
Lantas kerana itu pada awal tahun 1980 tertubuhnya Maahad Tarbiyah Islamiah di bawah pimpinan dan ilham dari beliau. Penerokaan ini merupakan yang pertama di Malaysia memandangkan pengajian bermula dari peringkat rendah berasrama penuh. Berbanding dengan skolah-sekolah agama yang lain, pengajian hanya dimulakan di peringkat menengah rendah.
Penerokaan ini oleh beliau adalah satu perkara yang di luar dugaan. Ketika mana keputusan ini dibuat, beliau sedang berkhidmat di bawah payung Maktab Mahmud dengan skim gaji terakhir RM 2000 sebulan, tetapi dengan kekuatan yang ada pada dirinya, langkah ke hutan belantara bernama Derang, atas nama tanggungjawab survival pendidikan bangsa, dengan penuh keyakinan yang lebih kuat dari segala halangan yang merintanginya. Antara halangan-halangan tersebut adalah saraan hidup yang belum menentu, suara-suara dari rakan gaulan yang tidak pernah merasa yakin dengan perjuangannya tanpa modal dan wang ringgit serta suasana sekitar yang belum lagi dapat menerima perjuangan di desa belantara.
Di sinilah Ustaz Niamat mula menyelami dan menghayati segala pengalaman yang pernah diperolehinya ketika bersama ayahanda beliau sebelum ini. Kewibawaan yang bukan hanya pada kata-kata tetapi sikap dan pendekatan yang membina. Pembinaan Maahad adalah satu lagenda kerana sekian dekad penerokaan hutan belantara menjadi kampung dan bandar tidak berlaku satu waktu. Syeikh Niamat adalah seorang peribadi yang mengembalikan tradisi keilmuan Islam yang bermula di hutan belantara sehingga terbentuknya kampung dan bandar yang diteroka melalui peranan ulama’.
Setelah Maahad ditubuhkan, bermulalah peringkat kehadiran tenaga-tenaga penggerak secara sukarela. Diperingkat ini beliau dengan kewibawaannya memikul tugas menyatukan tenaga-tenaga petugas yang hadir dari pelbagai latarbelakang hidup dan bidang pendidikan kearah satu kesatuan dalam menjayakan cita-cita pendidikan Islam. Petugas-petugas ini terdiri dari pelbagai latarbelakang samada dari bidang agama, teknokrat, profesional dan sebagainya. Di sinilah bermulanya cogan kata Maahad “Gandingan diantara keilmuan Islam yang mantap dan teknologi moden yang bermanfaat” sebagai halatuju kepada pembentukan Maahad.
Langkah demi langkah Maahad bersama Syeikh Niamat dan pendokong yang di bawah pimpinan beliau telah dapat merealisasikan sebuah sekolah yang pertama di Malaysia menyediakan pendidikan Islam peringkat rendah aliran arab secara berasrama penuh.
Kemampuan ini lebih unik apabila tarikan petugas pendokong baru maahad bukan didasarkan kepada janji-janji “gaji lumayan” malah tenaga Maahad terpaksa menempuh kesusahan bersama beliau serta pengorbanan ketika mana masyarakat belum memahami hakikat bahawa perlaksanaan pusat pendidikan Islam adalah tanggungjawab seluruh umat Islam, samada tanggungjawab berbentuk moral atau material.
Oleh kerana itu, walaupun beliau pada awalnya tidak memiliki modal yang besar, tanpa tenaga guru yang sanggup menyertainya, tanpa memiliki tanah dan kawasan untuk dibangunkan serta peralatan mengajar yang lengkap secara kasarnya tidak mungkin dapat difikirkan pengwujudan sebuah sekolah agama persendirian tanpa bantuan dari kerajaan. Namun inilah hakikat yang memulakan penubuhan Maahad di bawah teraju beliau. Segala kepeluan tersebut menyusul di belakangnya. Tidak hairanlah kebaktian di bidang pendidikan telah mendapat perhatian dari pihak Kerajaan Negeri Kedah sehingga beliau diberi penghormatan menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Darulaman pada tahun 1989.

KEMBALINYA SEBUTIR MUTIARA
Beliau kembali kerahmatullah tepat jam 10.20 pagi hari rabu tanggal 13 Rejab 1424 bersamaan 10 September 2003 di Hospital Alor Setar disisi kedua-dua isteri serta anak-anak beliau. Pada waktu-waktu akhir beliau dijemput Allah, beliau sedang mengusahakan ke arah memajukan lagi Maahad ini dengan pembentukan Perancangan Fasa Kedua Pembangunan Maahad serta beberapa buah puisi yang amat menyusuk kalbu.


RAMADHAN MESSAGE BY HABIB UMAR

BLOG UMMAH BERSELAWAT BEREHAT SEBENTAR SEPANJANG RAMADHAN

Tuesday 26 July 2011

PANGKIN PAK LONG V 4 D'UPTOWN STADIUM 29 JULY 2011

GAMBAR-GAMBAR KENANGAN MAJLIS UMMAH BERSELAWAT BERSAMA HABIB MUSA KADZIM


Kelihatan Ustaz Zainol Asri (Pak Long) bebaju merah jambu turut sama dalam rombongan ummah berarakmenuju ke Masjid AlBukhary


Kelihatan Ustaz Yusuf Mahmud YDP PUK dan Ustaz Aminudin (Din Tok Guru)












Tn Guru Pondok Kedah yang hadir





















Tuesday 19 July 2011

JADUAL PROGRAM HABIB KADZIM DI MALAYSIA JULAI 2011



MAJLIS BERSAMA HABIB KAZIM AS-SAGGAF DI MALAYSIA

23 Julai , Maghrib : di MASJID AL-FALAH, USJ 9

24/7 , 12 tghr : di MADRAS AN-NUR

24/7 , 5 ptg : di YAYASAN JENDERAMI

24/7 , maghrib : di MASJID AL-BUKHARY, JALAN HANG TUAH KL.

25/7 , 6.45 ptg : di MASJID AL-BUKHARI, ALOR SETAR , KEDAH
(bersama UMMAH BERSELAWAT)

Friday 8 July 2011

BIOGRAFI RINGKAS AL-FADHIL AL-WALID SHEIKH MUHAMMAD NURUDDIN MARBU ABDULLAH AL-BANJARI AL-MAKKI



BIOGRAFI RINGKAS AL-FADHIL AL-WALID SHEIKH MUHAMMAD NURUDDIN MARBU ABDULLAH AL-BANJARI AL-MAKKI

al-Fadhil Tuan Guru Syaikh Muhammad Nuruddin bin Haji Marbu bin Abdullah Thayyib حفظه الله berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia. Beliau dilahirkan di sebuah desa bernama Harus, Amuntai pada tanggal 1 September 1960M. Beliau anak yang ketiga dari tujuh bersaudara, dari sebuah keluarga yang taat beragama. Bonda beliau bernama Hajjah Rahmah binti Haji Muhammad Sobri adalah puteri dari seorang tokoh ulama besar di Kalimantan Selatan.



Berhijrah ke Tanah Suci Makkah

Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di kampung Harus. Kemudian pada tahun 1974 beliau belajar di pondok pesantren Normal Islam. Belum pun sempat menamatkan pengajiannya di pondok tersebut seluruh keluarga beliau telah berhijrah ke tanah suci Makkah. Pada tahun itu juga (1974) beliau meneruskan pengajiannya di madrasah Shaulathiah [sejarah penubuhan madrasah ini boleh didapati disini] sehingga tahun 1982. Selain itu beliau juga mengikuti pengajian yang diadakan umum di Masjidiharam dan juga dirumah para masyaikh.

Pada tahun 1982 beliau telah menamatkan pengajiannya dengan kepujian mumtaz (cemerlang) di madrasah Shaulathiah. Di samping itu juga beliau turut mencurahkan ilmunya kepada para pelajar dari Indonesia. Beliau telah mengajarkan kitab Qatrunnada, Fathul Mu'in, 'Umdatussalik, Bidayatul Hidayah dan lain-lain sebelum naik ke kelas 'Aliyah.

Beliau merupakan murid kesayangan gurunya asy-Syaikh al-‘Allamah Ismail Utsman Zain al-Yamani رحمه الله . Dan guru inilah yang banyak mewarnai dalam kehidupan beliau. Tuan guru beliau ini banyak meluangkan waktunya yang berharga untuk beliau dan sering mengajaknya untuk menemani Tuanguru beliau ke Madinah menghadiri program agama dan juga menziarahi maqam baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

[Ketika aku di Bogor untuk menghadiri pengajian bersama Shaikh Nuruddin, beliau kelihatan agak sebak bila menceritakan guru kesayangannya ini. Matanya merah berair …. ya… mengingati guru kesayangannya ini. Beliau juga menunjuk gambar gurunya yang mulia ini kepada aku …..]

Beliau mencurahkan segala usaha dan tenaganya serta dirinya mendekati para masyaikh untuk berkhidmat dan juga membekali diri dengan ilmu daripada guru-gurunya. Beliau amat gigih dalam belajar, maka tidak hairanlah kalau beliau mendapat tempat di hati para gurunya. Sebut sahaja ulama' yang ada di Mekah khususnya pasti beliau pernah berguru dengan mereka. Siapa yang tidak mengenali tokoh ulama' yang harum nama mereka disebut orang semisal Syaikh al-Allamah Hasan al-Masyath yang digelar Syaikh-ul-Ulama', Syaikh al-Allamah Muhammad Yasin al-Fadani, yang mendapat julukan Syaikhul Hadits wa Musnidud-dunya, Syaikh Ismail Usman Zin al-Yamani yang digelar al-Faqih ad-Darrakah (guru beliau ini menghafal kitab Minhajut Tholibin), Syaikh Abdul Karim Banjar, Syaikh Suhaili al-Anfenani, as-Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki, Syaikh Said al-Bakistani dan masih banyak lagi. Kata pepatah arab “cakap sahaja tanpa perlu khuatir”. Kitab-kitab yang dipelajari beliau bersambung sanad hingga kepada pengarang, masyaAllah betapa hebat dan beruntungnya umur beliau dan segala-galanya yang diberikan oleh Allah, tidak salah kalau dikatakan ilmu beliau lebih tua dari umurnya.

Pada tahun 1983 beliau telah melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar asy-Syarif dalam bidang syariah hingga mendapat gelar sarjana muda. Kemudian beliau meneruskan lagi pengajiannya di Ma'had 'Ali Liddirasat al Islamiah di Zamalik sehingga memperolehi diploma am “Dirasat 'Ulya” pada tahun 1990

Antara guru-gurunya ketika belajar di Mekah dan Mesir adalah adalah:-
  • asy-Syaikh al-‘Allamah Hasan al-Masyath رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah Muhammad Yasin al-Fadani رحمه الله,
  • asy-Syaikh al-‘Allamah Ismail Utsman Zain al-Yamani al-Makki رحمه الله,
  • asy-Syaikh ‘Abdullah Said al-Lahji رحمه الله,
  • asy-Syaikh al 'Alaamah al-Jalil as-Sayyid 'Amos رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah Muhammad ‘Iwadh al-Yamani رحمه الله
  • asy-Syaikh Zakaria Bila al-Indonesia رحمه الله
  • asy-Syaikh Muhammad Syibli al-Banjari رحمه الله
  • asy-Syaikh Karim al-Banjari رحمه الله
  • asy-Syaikh ‘Abdul Karim al-Bukhari رحمه الله
  • asy-‘Adnan al-Afnani رحمه الله
  • asy-Syaikh Saifurrahman رحمه الله
  • asy-Syaikh Sahili al-Anfanani رحمه الله
  • asy-Syaikh Said al-Bakistani رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah al-Muhaddits al-Kabir Muhammad Zakaria al-Kandahlawi رحمه الله
  • asy-Syaikh al-Jalil al-Habib ‘Abdul Qadir as-Saggaf حفظه الله
  • asy-Syaikh Muhammad Muntashir al-Katani al-Maghribi رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah al-Muhaddits al-Habib as-Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘allamah Muhammad Makki al-Hind رحمه الله
  • asy-Syaikh Muhammad Makhluf رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘allamah ‘Abdullah bin Hamid رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah al-Kabir Muhammad Mutawalli asy-Sya’rawi رحمه الله
  • asy-Syaikh al-Imam al-Akbar ‘ali Jadul Haq رحمه الله
  • asy-Syaikh Muhammad Zaki Ibrahim رحمه الله
  • al-Ustaz ad-Doktor asy-Syaikh Muhammad Tayyib an-Najjar رحمه الله
  • asy-Syaikh al-Jalil ar-Rabbani Muhammad ‘Abdul Wahid رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘allamah al-Kabir Abul Hasan ‘Ali an-Nadwi رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah al-Faqih ‘atiyyah Saqr رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah Hussin رحمه الله
  • asy-Syaikh ‘Abdul Hafidz al-Hind رحمه الله
  • al-Ustadz ad-Doktor Ahmad umar Hasyim حفظه الله,
  • al-Ustadz ad-Doktor ‘Abdusshobur Syahin
  • al-Ustadz ad-Doktor ‘Abdul Fattah asy-Syaikh,
  • al-Ustadz ad-Doktor Nashr Farid,
  • asy-Syaikh al-‘Arifbillah Yusuf Mahyuddin al-Hasani asy-Syadhuli ad-Darqawi حفظه الله dan ramai lagi.

MENABUR JASA & MENYANDANG GELAR AZHARUS TSANI 

Setelah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar beliau menumpukan perhatiannya untuk mencurahkan ilmunya kepada ribuan para pelajar yang datang dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Universiti al Azhar sehingga beliau mendapat gelaran al Azharus Tsani (Azhar ke Dua) satu julukan yang terhormat dan tulus dari masyarakat universiti al Azhar sendiri.


Beliau mengadakan kelas pengajian yang diberi nama “Majlis Al-Banjari Littafaqquh Fiddin” semenjak tahun 1987 sehingga 1998 yang mana buat pertama kalinya diadakan di rumah pelajar Johor dan rumah pelajar Pulau Pinang, di dewan rumah Kedah dan di dewan rumah Kelantan dan juga di masjid Jamik al Path di Madinah Nasr. Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab agama berbahasa Arab dalam pelbagai bidang yang banyak tersebar luas di Timur Tengah dan juga di negara Malaysia. Boleh dikatakan setiap para pelajar yang belajar di Al-Azhar Mesir semasa beliau berada di sana pernah menimba ilmu dari tokoh ulama' muda ini. Dan memanglah semenjak dari awal keterlibatannya dalam dunia ta'lim beliau telahpun menazarkan diri beliau untuk terus menjadi khadim (orang yang berkhidmat) untuk penuntut ilmu agama. Semoga Allah Ta’ala mengurniakan kesihatan dan ke'afiaatan kepada beliau serta keluarganya dan memberikan kesempatan yang seluasnya untuk beliau terus mencurahkan ilmu dan terus menghasilkan karya ilmiah.

MENGHASILKAN KARYA ILMIAH 

Beliau telah melibatkan diri dalam dunia penulisan semenjak tahun 1991. Beliau telah menghasilkan karangan dan juga mentahqiq kitab-kitab mu'tabar tidak kurang daripada 50 buah karangan kebanyakkannya dalam bahasa Arab.

Kitab tulisan beliau:
  • الإحاطة بأهم مسئل الحيض والنفاس والاستحاضة
  • تساؤلات وشبهات وإباطيل حول معجزة الإسراء والمعراج والرد عليها
  • المختار من نوادر العرب وطرائفهم
  • آدب المصافحة
  • من هو المهدى المنتظر؟
  • المجال الإقتصاد في الإسلام
  • بيان مفتى جمهورية مصر العربية حول فوائد البنوك في ميزان أهل العلم
  • سفر المرأة (احكامه و آدابه)
  • الدرر البهية في إيضاح القواعد الفقهية
  • معلومات تهمك
  • أسماء الكتاب الفقهية لسادتنا الأئمة الشافعية
  • أحكام العدة في الإسلام
  • آراء العلماء حول قضية نقل الأعضاء
  • أدلة بحريم نقل الأعضاء الآدمية
  • الأمر بالمعروف والنهى عن المنكر في الكتاب والسنة
  • العبر ببعض معجزات خير البشر صلى الله عليه وسلم
  • محمد نور الدين مربو البنجاري المكي والأحاديث المسلسة
  • الجوهر الحسن من أحاديث سيدنا عثمان عفان رضي الله عنه
  • اسمى المطالب من بعض أحاديث سيدنا على بن أبي طالب رضي الله عنه 
  • مراقي الصعود من بعض أحاديث سيدنا عبدالله بن مسعود رضي الله عنه
  • إفادة العام والخاص من بعض أحاديث سيدنا عبدالله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما
  • الكواكب الدري من أحاديث سيدنا أبي سعيد الخدري رضي الله عنه
  • الكواكب الأغر ببعض أحاديث سيدنا عبدالله بن عمر رضي الله عنهما
  • زاد السلك من أحاديث سيدنا أنس بن مالك رضي الله عنه
  • الإقتباس من أحاديث سيدنا عبدالله بن عباس رضي الله عنهما
  • فيض الباري حول بعض أحاديث سيدنا أبي موسى الإشعري رضي الله عنه
  • الردة أسبابها وأحكامها
  • توفيق الباري لتوضيح وتكميل مسائل الإيضاح للامام النووي
  • مكانة العلم والعلماء وآداب طالب العلم
  • dan banyak lagi

Antara kitab yang beliau tahqiq dan ta’liq
  • رسالة المعاونة والمظاهرة والمؤازرة
  • قرة العين بفتاوى الشيخ إسماعيل عثمان زين
  • رفع الأستار عن دماء الحج والاعتمار
  • شروط الحج عن الغير
  • الحسن البصري
  • إقامة الحجة غلى أن الإكثار في التعبد ليس ببدعة
  • خصوصيات الرسول صلى الله عليه وسلم
  • يستان العارفين
  • dan banyak lagi

MAJLIS PENGAJIAN BELIAU Dl TANAH AIR MALAYSIA 

Pada tahun 1998 beliau telah diperlawa untuk mengajar di Maahad Tarbiah Islamiah (MTI), Derang Kedah, yang diasaskan oleh al-Marhum Ustaz Niamat Bin Yusuf رحمه الله pada tahun 1980. Beliau tidak ubah umpama hujan yang menyuburkan bumi yang lama kehausan siramannya. Beliau menetap di MTI Derang hinggalah tahun 2002. Beliau merupakan tenaga pengajar yang utama lagi disegani yang banyak memperuntukkan masa beliau untuk para pelajar di Maahad 'Ali Littafaqquh Fiddin, Derang.
[gambar sebelah ini adalah gambar Shaikh Hasan al-Masyath]

Di samping itu beliau juga dijemput mengadakan pengajian dan ceramah bulanan atau mingguan di masjid-masjid, sekolah-sekolah. majlis-majlis perayaan agama malah suara beliau telah lantang bergema menyampaikan syiar agama di hotel-hotel, di pejabat kerajaan sama ada di negeri Kedah Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terangganu. Setiap kali pengajian yang diadakan pasti akan bertambah jumlah hadirin yang tidak mahu ketinggalan menimba ilmu dan menerima siraman rohani daripada beliau. Selepas 4 tahun menabur bakti di bumi Kedah beliau telah pulang ke tempat asal kelahirannya untuk menubuhkan pesantren beliau sendiri di Kalimantan dan seterusnya pada tahun 2004 beliau menubuhkan Maahad az-Zein al-Makki al-‘Ali Litafaqquh Fiddin di Ciampiea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia. Dan disinilah beliau menetap dan mendiri bakal ulama.

KELEBIHAN BELIAU 

Yang pertama dan utama adalah beliau selalu istiqamah dalam apa jua yang dikerjakannya. Beliau mempunyai semangat yang luar biasa tinggi, tegas dengan prinsip dan berdisiplin tinggi, berwibawa, bersemangat ketika menyampaikan ilmu. Diantara kelebihan beliau lagi walaupun banyak kelebihan beliau yang lain iaitu beliau tidak pernah kelihatan letih walaupun jauh dan lama masa mengajar, banyak tempat pengajian yang beliau hadiri dan juga kelebihannya lagi pasti ada perkara baru yang disampaikan oleh beliau dalam pengajarannya. Adapun kehebatan beliau dalam menyampaikan ilmu mengaitkan masalah semasa dengan apa yang disampaikannya sungguh amat luar biasa dan amat member kesan sekali kepada para hadirin. Beliau bukan sahaja mencurahkan ilmu kepada muridnya bahkan terlebih utama lagi beliau memberi didikan adab semasa belajar. Itu merupakan fadhlun minallah kepada hamba-hambanya yang bertaqwa kepadanya.
[gambaq ni adalah gambaq Shaikh Yasin al-Fadani. Salah satu daripada sanad hadits musalsal yang dikontroversikan oleh simakhluq penulis fitnah di MM tu, Shaikh Nuruddin terima dari Shaikh Yasin]

IRSYADAT AL FADHIL

(Petikan ucapan sulung al-Fadhil Syaikh Muhammad Nuruddin hari pertama pengajian di kelas al-Ma'hadul ‘Ali Lit Tafaqquh Fiddin Derang, Kedah - pada hari Itsnin 9 Ramadhan 1419H bersamaan 28 Disember 1998 M.)
  • Jangan tersilau dengan gelar PhD atau MA dan sebagainya. Penubuhan al Ma’hadul 'All Littafaqquh Fiddin ini untuk mendapat redha Allah dan membawa misi dan visi Nasratu Dinillah Taala dan adda‘watu ilallah Menuntut ilmu untuk menolong agama Allah, bukan untuk sijil, syahadah atau untuk dunia serta pangkat.
  • Terlalu murah kalau dengan ilmu hanya untuk mendapat gaji lumayan. Kalau belajar hanya untuk duit akan terhenti dengan duit, dapat duit tinggal ilmu.
  • Tanggungjawab kita lah terhadap ilmu di tanahair khususnya dan seluruh dunia umumya.
  • Siapkan diri untuk berkorban demi ilmu, agama. Ilmu untuk agama dan akhirat.
  • Bekerjalah untuk Islam, jangan biarkan musuh Islam mengukut tanah umat Islam dikeranakan ulama kita tidur sedang kita asyik bertengkar sesama sendiri.
  • Jadilah 'abidan lillah (hamba kepada Allah jangan 'abidan li makhluk (hamba kepada makhluk). Menuntut ilmu harus ikhlas baru berkat.
  • Berakhlaklah dengan guru yang kita mengaji dengannya. Mohon restu guru, dekati dan dampingi mereka merupakan kunci dan rahsia keberhasilan.
  • Hormatilah kitab-kitab, susun dengan baik dan terhormat, jangan letak sesuatu di atas kitab, membawa kitab jangan seperti menenteng ikan sahaja, dakapkan ke dada.
  • Akhlak juga harus besar sebagaimana besarnya kitab-kitab yang kita pelajari dan beramallah, jangan sampai belajar di kelas Tafaqquh tapi tak berminat untuk beramal.
  • Saya bukan seperti kebanyakan guru silat yang menyimpan langkah-langkah atau jurus-jurus maut yang mematikan dari diketahui murid-murid.
sumber

Blog AL-FANSHURI